Macrokiosk peruntuk subsidi RM3 juta kepada PKS Malaysia bagi penggunaan pendigitalan

  • Thursday, July 23, 2020
  • Bernama, Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 Julai  -- Syarikat teknologi digital utama, Macrokiosk, memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menyediakan subsidi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bagi penggunaan pendigitalan mereka.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Korporat Macrokiosk Group CS Goh berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan usaha kumpulan untuk membantu PKS memulakan semula perniagaan mereka semasa tempoh sukar ini.

Beliau berkata subsidi itu akan menyokong usaha pendigitalan dan integrasi penyelesaian digital PKS ke dalam model perniagaan sedia ada mereka. 

"Kami menyedari bahawa PKS hari ini memerlukan penyelesaian digital baharu yang mudah untuk dilaksanakan dan membolehkan penukaran jualan yang lebih pantas. Jualan dan belian di platform sosial, juga dikenali sebagai ‘chat commerce’, telah menjadi norma dalam kalangan perniagaan kecil dan pelanggan mereka.

"Dengan penyelesaian pembayaran kami, perniagaan boleh memuktamadkan jualan dengan pantas dengan menghantarkan pautan kepada pelanggan mereka yang terdiri daripada invois digital dan pilihan pelbagai pembayaran,” kata Goh dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah pelanggan boleh membuat pembayaran mereka hanya dengan mengklik pada pautan itu.

PKS juga boleh memanfaatkan penyelesaian digital Macrokiosk untuk mengoptimumkan perniagaan mereka bagi pasaran digital dengan kata laluan sekali bagi pengesahan selamat untuk mengesahkan pelanggan mereka, atau sembang interaktif yang boleh dikonfigurasikan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan yang dinamik dan pantas kepada pelanggan menerusi platform pemesejan pilihan mereka.

Goh berkata, memandangkan pendigitalan menjadi penting bagi kelangsungan hidup banyak perniagaan terutamanya dalam iklim ekonomi semasa, syarikat yang diasaskan di Malaysia itu mahu membantu PKS menerusi penyelesaian digital “BOLD” bagi memperkasakan PKS dengan apa yang diperlukan untuk memulakan semula dan mewujudkan kemampanan dalam perniagaan mereka dengan penyelesaian digital sebagai satu perkhidmatannya.

PKS yang mahu memanfaatkan penyelesaian digital BOLD boleh melayari https://macrokiosk.com/boldforsme untuk melihat pelbagai pelan yang disubsidikan dalam bahagian komunikasi, pengesahan, libat urus dan pembayaran.

"Semua penyelesaian digital kami, yang dikonsepkan, diinovasikan dan dicipta oleh tenaga kerja Malaysia kini digunakan berjuta-juta pengguna di seluruh dunia setiap hari.

"Justeru, kami berharap dapat memainkan peranan untuk menyokong PKS Malaysia dalam transformasi digital mereka ketika kita mengharungi tempoh mencabar pada masa depan bersama-sama,” katanya. 

Related Articles
Macro Kiosk set to expand presence to robotics, EV sectors
Macro Kiosk Bhd Expands into Robotics and EV Industries
Macro Kiosk set to expand presence to robotics and EV sectors
It takes a community
The retired journo who opened her home to a stranger’s children