Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan (empat, kanan) menyampaikan Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK kepada Pengasas Taiping Soup Kitchen Datuk Balraaj Singh (tiga, kiri) di Gurdwara Sahib, Jalan Stesen, hari ini.
TAIPING, 20 Julai (Bernama) – Sekumpulan sukarelawan pelbagai Kaum dikenali sebagai Taiping Soup Kitchen yang menyediakan bantuan makanan yang dimasak terus dari pangkalan di kuil Sikh kepada orang ramai yang memerlukan, memenangi Anugerah Muhibah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-Macrokiosk bagi bulan Julai.
Kumpulan itu menerima anugerah berkenaan daripada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan, yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.
Sivanesan berkata inisiatif MPC dan Macro Kiosk Berhad (Macrokiosk) mengiktiraf ‘wira tidak didendang’ dalam semangat muhibah merupakan satu ingatan mesra yang tepat masanya kepada orang ramai, untuk memupuk Muhibbah dan kesetiakawanan tanpa mengira bangsa, agama atau kerakyatan.
Beliau berkata semangat Muhibbah perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat, terutama golongan muda di Malaysia terutama dalam dunia hari ini, yang menyaksikan orang ramai lebih banyak berhubung dengan peralatan komunikasi berbanding bersemuka sesama insan.
“Mari kita hidupkan semula perasaan menjadi Masyarakat Malaysia yang erat dan bersatu padu, yang menyaksikan jiran tetanggi mengambil berat antara satu sama lain,” katanya dalam persidangan media selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di sini hari ini.
Kumpulan itu memperoleh anugerah berkenaan selepas berjaya menarik perhatian para hakim yang terdiri darpada Kumpulan editor dan wartawan kanan dari pelbagai media.
Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan yang diwakili oleh timbalannya Haresh Deol dalam kenyataan berkata kumpulan itu memang seharusnya memenangi anugerah berkenaan apabila secara konsisten mempamerkan semangat muhibah dengan menyediakan makanan yang dimasak terus kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan.
“secara kebetulan penerima anugerah itu pada bulan Mei lepas adalah sebuah masjid, diikuti dengan sebuah institusi pendidikan yang diasaskan oleh seorang paderi dan isterinya sebagai pemenang bulan Jun. Hari ini kita berdiri di sebuah gurdwara (tempat ibadat kaum Sikh) bagi mengiktiraf kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh sebuah Kumpulan pelbagai kaum yang beroperasi dari kuil kaum Sikh ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Macrokiosk Datuk Kenny Goh dalam ucapan tahniah kepada pemenang anugerah itu berkata usaha Kumpulan berkenaan untuk berkhidmat kepada Masyarakat dengan semangat sukarelawan yang tinggi telah mangagumkan para hakim kerana mereka sememangnya menjiwai semangat muhibbah.
Beliau berharap anugerah itu akan menarik minat lebih ramai sukarelawan untuk menyertai usaha murni itu.
Pemenang Anugerah Muhibah NPC-Macrokiosk Muhibbah Award membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000, sijil dan baucar daripada Syarikat berjenama Tealive, Jaya Grocer dan jenama yoghurt llaollao.