Peguam kisah sedih 'kotak pensel' menang Anugerah Muhibbah

  • Wednesday, September 13, 2023
  • berita.rtm.gov.my

(Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menerima Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK)

KUALA LUMPUR, 12 September- Tindakan prihatin peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar pada 25 tahun yang lalu telah meraih Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK bagi bulan September.

Keputusannya untuk membantu dan menyelamatkan seorang 'ibu yang kesusahan' dalam kes kecurian barang di sebuah pasar raya telah menyatukan dua keluarga daripada latar belakang berbeza melalui sebuah kisah yang menyentuh hati.

Pada tahun 1998, Ahmad Zaharil, yang ketika itu berusia 30-an, bertemu dengan seorang wanita yang dalam kesedihan setelah didakwa mencuri sebuah kotak pensel bernilai RM18. Dia mendakawa ingin memberikan kotak pensel tersebut sebagai hadiah kepada anak lelakinya berusia 10 tahun yang merupakan pelajar pintar dan terbaik dalam kelasnya.

Beliau sebagai 'Good Samaritan' turut campur tangan dan nekad mengumpulkan bukti mengenai kes wanita tersebut.

Hakim Majistret yang mengadili perbicaraan itu, dengan prihatin membebaskan ibu tersebut dengan syarat berkelakuan baik.

Kakitangan mahkamah, anggota polis, serta orang awam yang hadir turut terkesan mendengar kes tersebut dan mereka berusaha mengumpulkan sumbangan wang untuk diserahkan kepada wanita berkenaan.

20 tahun berlalu, pada 2018, Ahmad Zaharil, didekati oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai anak wanita tersebut dan beliau telah terinspirasi untuk menjadi seorang peguam.

Pertemuan semula yang mengharukan itu membawa kepada persahabatan yang erat, Ahmad Zaharil kini diibaratkan sebagai seorang bapa kepada peguam muda itu.

Kisah mengagumkan mengenai Ahmad Zaharil, yang tular baru-baru ini, telah menyentuh hati para juri, dan melayakkan beliau menerima anugerah bagi bulan September.

"Saya membantu kerana dia adalah rakyat Malaysia. Di Malaysia, walaupun berbeza latar belakang, perbezaan kami adalah kecil, tetapi kami mempunyai banyak persamaan. Kami hidup dalam keadaan harmoni sebagai satu keluarga yang besar.

"Saya tidak pernah menjangka tindakan kecil saya pada 25 tahun yang lalu boleh membawa kepada hubungan keakraban yang begitu indah. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagaimana dilatih selaku ahli profesion undang-undang.

"Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini, yang sebenarnya diperuntukkan kepada setiap rakyat Malaysia yang telah menerapkan semangat Muhibbah selama beberapa dekad. Penganugerahan ini berketepatan dengan waktunya memandangkan kita bakal menyambut Hari Malaysia pada Sabtu ini," katanya.

Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC), Haresh Deol, yang menyampaikan anugerah tersebut, memuji Ahmad Zaharil atas tindakan prihatin beliau.

“Ahmad Zaharil telah menunjukkan apa itu nilai kemanusiaan. Motivasinya ketika itu adalah sekadar untuk membantu rakyat Malaysia tetapi beliau sebaliknya telah mengubah kehidupan bagi wanita tersebut serta anaknya,” kata Haresh.

“Perjuangan beliau sungguh berinspirasi dan sememangnya melambangkan semangat Muhibbah yang sejati. Saya amat berharap kisah ini menjadi galakan untuk lebih ramai rakyat Malaysia melakukan perubahan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK Datuk Kenny Goh, berkata, "Kisah Ahmad Zaharil telah mempamerkan semangat Muhibbah yang kami ingin teladani dan galakkan melalui anugerah ini. Keprihatinan beliau telah mengagumkan para juri dan menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia."

Anugerah Muhibbah NPC-MACROKIOSK membawa hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, sijil dan baucar daripada jenama teh gaya hidup serantau terkemuka Tealive, jenama pasaran segar gaya hidup terkemuka Jaya Grocer dan jenama yogurt asli terkenal llaollao.

(Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menerima Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK)

Related Articles
Seremban Aikido dojo wins Muhibbah Award
For Sabah nun, Christmas means giving the gift of education
Visiting villagers in need for two decades
修道馆弘扬和谐63载 芙合气道道场荣获亲善大奖
Shudokan Terima Anugerah NPC-MACROKIOSK Muhibbah