Jasa Uncle Mike dapat penghargaan The National Press Club, Macrokiosk

  • Thursday, July 25, 2024
  • hmetro.com.my

Michael Tong Wai Siong yang lebih dikenali sebagai Uncle Mike (tengah) bersama tiga anak angkatnya, Rafie Ahmad Fauzi (dua kiri), Rasyid (kiri) dan Abdul Rahman (kanan) serta cucunya.

Kuala Lumpur: "Jangan anggap saya hero kerana kesudian saya menjaga tiga beradik yatim piatu biarpun kami berlainan agama dan bangsa sebaliknya cukuplah sekadar menganggap kisah kami memberi kesedaran untuk sentiasa berbuat baik," kata Michael Tong Wai Siong, 55.

Lelaki berketurunan Cina yang menjaga tiga anak angkat lelaki berbangsa Melayu dan beragama Islam sejak kecil itu mendapat penghargaan apabila menerima Anugerah Muhibbah 2024, hari ini.

Penghargaan itu diberikan The National Press Club dengan kerjasama Macrokiosk sebagai menghargai pengorbanan Michael yang lebih dikenali sebagai Uncle Mike kerana menjaga Rafie Ahmad Fauzi, 29, serta dua adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24.

Michael berkata, dia terharu dengan penghargaan diberikan secara langsung dan tidak langsung di media sosial sekali gus turut menghargai Harian Metro yang berkongsi kisah mereka sehingga keluarganya mendapat perhatian hingga kini.

"Saya bersyukur jika kisah kami dijadikan sebagai inspirasi untuk semua orang berbuat baik tanpa mengira bangsa dan agama. Kita berbuatlah baik tanpa mengharapkan ganjaran sebaliknya kerana jiwa kita sebagai manusia.

"Saya tidak mengharapkan pujian tetapi selepas 16 tahun berlalu, tiba-tiba kisah kami dapat perhatian dan penghargaan luar biasa selain kehadiran cucu tersayang namun semua itu saya anggap sebagai rezeki," katanya ketika dihubungi selepas menerima penghargaan itu di sebuah majlis, di sini.

Michael turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan doa kepada keluarganya sehingga kini dan berharap tiga anak angkat yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu juga sentiasa berbuat baik dengan orang lain tanpa mengira latar belakang.

Laporan muka depan Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Michael yang menjaga Rafei, Rasyid dan Abdul Rahman sejak 16 tahun lalu selepas mereka dihantar ke rumah anak yatim berikutan ibu bapa meninggal dunia.

Dia menyayangi tiga pemuda itu seperti anak sendiri biarpun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini, malah turut menyediakan kelas agama untuk mereka selain keluarganya juga menerima anak angkat itu dengan baik.

Related Articles
Curating enterprise solutions for companies
Seremban Aikido dojo wins Muhibbah Award
For Sabah nun, Christmas means giving the gift of education
Visiting villagers in need for two decades
修道馆弘扬和谐63载 芙合气道道场荣获亲善大奖