Tidak kekok ambil anak angkat Melayu

  • Thursday, August 08, 2024
  • utusan.com.my

LUARANNYA, lelaki ini sama seperti lelaki lain, tetapi yang membuatkan dirinya istimewa ialah sekeping hati yang sarat dengan cinta dan jiwa kebapaan.

Michael Tong Wai Siong, 55, berdarah Tionghoa tidak kekok memiliki anak angkat berketurunan Melayu yang dipelihara sejak 16 tahun lalu.

Bukan seorang, tetapi tiga beradik dijaganya iaitu Rafie Ahmad Fauzi, 29, diikuti Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24.

Ihsan dicurahkannya turut mengubah hidup anak-anak itu sekali gus mengatasi trauma mereka akibat kehilangan ibu bapa kandung dan terpisah antara satu sama lain.

“Saya percaya perjalanan hidup kita sudah ditakdirkan, rasa takut memang ada tetapi saya tolak ke tepi bagi melunaskan suruhan tuhan.

“Saya mahu anak-anak tahu ada insan lain yang boleh berkongsi kasih sayang sebagai keluarga walaupun ibu bapa kandung mereka sudah tiada,” katanya.

Bapa kandung kepada tiga anaknya meninggal dunia akibat sakit jantung dan tidak lama selepas itu disusuli dengan ibu pula.

Tiga beradik itu terpisah apabila Rafie ditempatkan di rumah anak yatim di Gombak manakala Rasyid dan Abdul Rahman menghuni institusi sama di Sungai Pinang, Klang.

Michael ditemui selepas meraih Anugerah Muhibah Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) Macrokiosk 2024 baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan dan Ketua Pegawai Eksekutif Macrokiosk, Datuk Kenny Goh atas jasanya menjalin ikatan kekeluargaan walaupun berbeza latar dan agama.

Michael membawa pulang wang RM2,000 dan sijil.

Pengusaha perniagaan pengurusan acara ini tidak pernah menyesal dengan keputusan nekadnya menjaga anak-anak berbeza bangsa dan agama.

Ujarnya, ia bukan tindakan salah atau terburu-buru terutama dengan kebahagiaan dinikmati setelah mereka dewasa.

Kini, ketiga-tiga anaknya mengusahakan kafe, DeAyen Coffee di Kajang sejak setahun lalu.

Ujarnya, tiada persediaan menjadi ibu bapa segera, atau tips tertentu kerana proses berlaku secara semula jadi, berperingkat dan berterusan.

Namun, beliau berpegang kepada prinsip yang dirinya perlu ‘berubah’ terlebih dahulu demi memastikan anak-anak selesa.

“Saya jaga mereka bukan untuk dijadikan seperti orang Cina dan ikut cara saya, sebaliknya mahu mereka kekal sebagai Melayu dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

“Saya panggil ustaz ajar mereka mengaji dan selalu mengingatkan mereka bersolat lima waktu.

 

“Saya turut berpuasa sebulan pada Ramadan dan belajar masak rendang serta pelbagai menu Melayu lain, malah di rumah pun kami berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka,” katanya.

Perubahan dilakukan itu secara tidak langsung mendekatkannya dengan keindahan Islam dan makanan halal.

TAK PERNAH ROTAN ANAK

Mengakui dirinya seorang yang tegas, tetapi dia tidak pernah memukul atau merotan tiga permata hatinya.

Baginya, seiring peningkatan usia anak-anak, ibu bapa perlu mengambil pendekatan sebagai kawan.

“Cuma yang bongsu pernah dipiat telinga semasa kecil kerana kenakalannya culas solat.

“Saya juga selalu ulangi ayat sama pada mereka untuk sentiasa bersyukur dengan rezeki Allah, jangan tinggal solat dan berdoa untuk arwah ibu bapa agar dikurangkan seksaan kubur,” katanya.

Walaupun proses membesarkan ketiga-tiga anaknya berjalan lancar dan mudah, namun dia mengakui berdepan sedikit cabaran apabila mereka berusia antara 16 hingga 18 tahun.

Katanya, ketika itu terdapat beberapa permintaan dan kemahuan termasuk mahu memiliki motosikal berkuasa tinggi.

“Saya faham remaja mahu itu ini dan kalau tolak bulat-bulat tentu anak memberontak, jadi saya gunakan pendekatan ganjaran kepada mereka.

“Kalau mereka dapat keputusan peperiksaan bagus atau berusaha keras, saya cuba tunaikan permintaan itu,” katanya yang menghadiahkan Ducati kepada Rafie.

Selain barangan, Michael turut membawa anak-anaknya melancong sejak kecil antaranya ke Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

Dia percaya, rezekinya bertambah murah termasuk ketika bergelut dengan pandemik Covid-19 asbab menjaga tiga beradik yatim piatu itu.

RAYYAN PENYERI HIDUP

Kehidupan empat beranak ini bertambah ceria dengan kehadiran si kecil, Rayyan Aisy, 5, dan Rania, setahun 7 bulan.

Kedua-duanya merupakan anak kepada Rafie.

Kata Michael, sukar digambarkan perasaannya apabila berpeluang menimang cucu buat kali pertama dalam hidup.

“Saya ada bersama-sama Rafie di hospital dan berpeluang menyaksikannya mengalunkan azan pada zuriat sulung.

“Hati saya tersentuh, sebak dan bersyukur kerana tidak sangka mereka sudah dewasa.

“Sebelum ini dia bersendiri di hujung katil ketika pertama kali menemuinya di rumah anak yatim, tetapi kini anugerah tuhan ini sudah dewasa dan bergelar bapa,” katanya.

Kata Michael, hubungan kekeluargaan antara mereka tidak pernah renggang walaupun setelah yang sulung berumahtangga.

Dua anak masih tinggal bersamanya di Damansara, manakala Rafie pula berpindah ke tingkat atas pangsapuri sama.

“Dia tidak mahu tinggal jauh kerana senang untuk menjenguk saya atau menghantar makanan di samping memudahkan saya bermain dengan cucu.

“Apabila ada cucu, hidup jadi lebih seronok. Bila tengok keletahnya yang mencuit hati dan datuknya pun kena melayan main sorok-sorok bersama,” katanya.

TIDAK HARAP BALASAN

Segala ihsan dan kebaikan dilakukan Michael kepada tiga beradik itu bukan untuk mengharapkan balasan.

Selagi kudrat dan kesihatan masih baik, lelaki ini boleh menjaga diri sendiri tanpa menyusahkan anak-anak.

“Saya tidak mahu bebankan mereka untuk jaga atau balas balik jasajasa saya kerana semua itu dilakukan dengan ikhlas.

“Pesanan saya agar utamakan kerja-kerja mereka dan sentiasa buat kebaikan agar hidup lebih berkat.

“Kebaikan tidak semestinya kembali kepada saya. Mungkin ada lagi insan lain yang lebih berhak, misalnya pekerja orang kurang upaya (OKU) yang berkhidmat di kafe mereka,” katanya.

Besar harapannya semua anaknya berjaya dalam hidup dan memiliki keluarga masing- masing sebelum dia menutup mata.

Rasyid yang dipanggil ‘Cun’ bakal mendirikan rumahtangga pada akhir tahun ini.

‘TANPA UNCLE MUNGKIN KAMI TIDAK JADI ORANG’

Rafie mengakui hidup mereka adik-beradik jauh berbeza berbanding sebelum dijaga Michael.

Daripada seorang yang suka menyendiri dan pendiam, karakternya berubah dek limpahan cinta dan kasih sayang bapa angkatnya itu.

Apatah lagi, lelaki itu sanggup menyatukannya dengan dua adik lelakinya setelah bertahun mereka terpisah lantaran dihantar ke rumah anak yatim berbeza.

“Pada peringkat awal, uncle banyak kenal saya melalui nota-nota yang saya tulis dalam diari.

“Tanpanya, mungkin kami tidak jadi orang kerana di rumah anak yatim ada macam- macam penghuni termasuk yang bermasalah sosial,” katanya.

Walaupun dijaga bapa Cina, mereka adik-beradik tidak pernah sekali pun bercakap belakang atau ragu-ragu dengan Michael dari kecil hingga kini.

“Kami menerimanya sepenuh hati dan rasa selamat di bawah jagaannya,” katanya.

Related Articles
Seremban Aikido dojo wins Muhibbah Award
For Sabah nun, Christmas means giving the gift of education
Visiting villagers in need for two decades
修道馆弘扬和谐63载 芙合气道道场荣获亲善大奖
Shudokan Terima Anugerah NPC-MACROKIOSK Muhibbah