Zubir Khan terima Anugerah Muhibbah

  • Tuesday, October 22, 2024
  • hmetro.com.my

Zubir terima Anugerah Muhibbah 2024 daripada Kenny dan Abdul Rahmat.

Kuala Lumpur: Bagi mengiktiraf semangat muhibbah yang ditonjolkan melalui lagu-lagu Tamil ciptaannya serta kejayaan menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, penyanyi Zubir Khan diberikan Anugerah Muhibbah anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama MACROKIOSK.

Zubir atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali dipilih sebagai penerima anugerah itu sempena bulan Ogos selepas berjaya menambat hati pengarang media dari pelbagai organisasi selaku juri yang mengagumi semangat muhibbah ditunjukkan menerusi lagu Tamil ciptaannya.

Teruja dengan penganugerahan yang diberikan, Zubir berkata, anugerah itu adalah satu kejutan sekali gus menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus berkarya.

"Ini adalah satu kejutan kerana saya tidak pernah menjangkakan apa-apa anugerah sebelum ini. Saya selalu terfikir kekurangan yang dimiliki akan menjadi penghalang untuk saya berjaya memandangkan saya kehilangan tangan kanan pada usia empat tahun.

"Anugerah ini adalah makna kegembiraan sebenar. Saya tak sangka lagu Tamil yang dihasilkan dapat menyatukan ramai orang.

"Saya berharap dapat terus mencipta dan menyanyikan lagu yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghayati semangat muhibbah dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia," kata Zubir ditemui pada majlis pengumuman penerima Anugerah Muhibbah anjuran NPC dengan kerjasama MACROKIOSK di Plaza Conlay, hari ini.

Hadiah Kejayaan itu menyaksikan Zubir membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 serta sijil penghargaan.

Sementara itu, Exco NPC, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif berkata, kelab itu berharap dapat terus menyemarakkan semangat Muhibbah melalui kerjasama bersama MACROKIOSK, yang bermula pada tahun lepas, bagi membina Malaysia yang lebih kuat dan bersatu padu.

"Mencapai matlamat ini memerlukan kerjasama setiap rakyat Malaysia, dan ia bermula dengan menyemai semangat ini dalam diri generasi muda.

"Malaysia yang benar-benar bersatu dalam semangat muhibbah hanya dapat direalisasikan melalui usaha kolektif kita semua.

"Pemenang bulan Ogos ini menerima Anugerah Muhibbah sebagai usaha menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik diakui dan dihargai oleh juri.

"Zubir menunjukkan semangat muhinnah yang mengagumkan dengan menyatukan masyarakat melalui kecintaan dan bakatnya dalam nyanyian lagu-lagu Tamil," katanya.

Turut hadir pada acara itu ialah Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh.

Related Articles
Seremban Aikido dojo wins Muhibbah Award
For Sabah nun, Christmas means giving the gift of education
Visiting villagers in need for two decades
修道馆弘扬和谐63载 芙合气道道场荣获亲善大奖
Shudokan Terima Anugerah NPC-MACROKIOSK Muhibbah