Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK untuk bulan Oktober kepada Sister Dorothy.
KOTA MARUDU: Biarawati yang mendedikasikan hidupnya untuk pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak kurang berkemampuan di pedalaman Sabah menerima Anugerah Muhibbah Kelab Akhbar Kebangsaan-MACROKIOSK untuk bulan Oktober.
Tujuh pengarang media selaku panel hakim bagi anugerah ini sebulat suara memilih Sister Dorothy Amalia Laudi atas dedikasinya yang mengagumkan dalam menyediakan pendidikan prasekolah di kawasan pedalaman dengan menguruskan 12 tadika di Paitan dan Pensiangan.
Anugerah kepada Sister Dorothy daripada Order of Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC) itu disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Kurup memuji inisiatif Muhibbah oleh Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dan MACROKIOSK yang dilancarkan tahun lalu bagi mengiktiraf wira masyarakat berjiwa Muhibbah.
"Perjuangan Sister Dorothy di Sabah mengingatkan kita tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan dan memperkasakan komuniti.
"Sebagai Ahli Parlimen Pensiangan, saya memahami cabaran dihadapi masyarakat di pedalaman dan usaha beliau dalam menyediakan pendidikan prasekolah di kawasan yang terpinggir adalah amat mengagumkan.
"Pengiktirafan oleh NPC dan MACROKIOSK ini menekankan pentingnya menyokong inisiatif yang mampu memutuskan kitaran kemiskinan dan memberi harapan kepada keluarga yang memerlukan," katanya.
Pada 2023, NPC bersama penyedia platform penyelesaian perusahaan, MACROKIOSK, melancarkan Anugerah Muhibbah bagi mengiktiraf individu, kumpulan atau organisasi di Malaysia yang menunjukkan semangat Muhibbah.
Enam pemenang diraikan dalam siri pertama tahun lalu, atas sumbangan mereka dalam memupuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
Empat anugerah diperuntukkan dalam siri tahun ini iaitu bagi bulan Jun, Ogos, Oktober dan Disember.
Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan, menyatakan Sister Dorothy wajar menerima anugerah ini kerana komitmen beliau yang tinggi dalam memupuk semangat Muhibbah dan percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan, tanpa mengira status ekonomi atau lokasi tempat tinggal.
"Kami berharap Anugerah Muhibbah ini dapat menarik lebih banyak perhatian terhadap usaha murni Sister Dorothy, kerana jelas beliau memerlukan sokongan lebih besar dari apa yang diterima ketika ini," katanya.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK, Datuk Kenny Goh, mengucapkan tahniah kepada Sister Dorothy atas usaha beliau selama lebih 19 tahun dalam membawa kasih sayang, kegembiraan dan harapan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan, yang disifatkannya sebagai satu perjuangan luar biasa.
Dorothy, dari Tambunan Sabah, mendapat Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Edith Cowan University di Perth pada 2005.
Beliau ditempatkan di kawasan pedalaman Paitan untuk menguruskan tadika-tadika di sekitar.
Beliau berperanan penting dalam penubuhan lapan tadika di salah satu kawasan paling terpencil di negeri ini.
Kini, beliau mengendalikan 12 tadika iaitu lapan di Paitan dan masing-masing satu di Kota Marudu, Tambunan, Keningau, dan Pensiangan.
"Tadika-tadika ini tidak akan wujud tanpa kemurahan hati individu dan masyarakat," ujarnya.