MACROKIOSK sasar masuki 21 negara menjelang 2015

  • Monday, June 24, 2013
  • www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat penyedia sistem teknologi mudah alih berstatus Multimedia Super Corridor (MSC), MACRO KIOSK Bhd. (MACROKIOSK) merancang menerokai pasaran di 21 buah negara menjelang 2015 sempena ulang tahun ke-15 penubuhan syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenny Goh berkata, setakat ini, MACROKIOSK telah bertapak di 14 buah negara di Asia, termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, China, Indonesia dan Taiwan.

"Antara negara baharu yang dilihat berpotensi adalah Myanmar dan negara-negara di rantau Asia Barat serta Afrika. Sistem ini masih baharu untuk kawasan berkenaan dan ia mampu memberi kelebihan kepada kami.

"Sasaran kami adalah menerokai tiga buah negara setahun untuk mencapai sembilan negara baharu keseluruhan pada 2015," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

MACROKIOSK menawarkan perkhidmatan mudah alih, 'monetization' dan penyelesaian telekomunikasi kepada 18 industri meliputi penerbangan, perbankan, kewangan, teknologi maklumat, e-perdagangan dan logistik.

Syarikat berkenaan telah membangunkan platform sistem perhubungan sendiri iaitu Automated Mobile Exchange (AMX) dan Global Enterprise Messaging (GEM) yang menjadi tunjang utama operasi MACROKIOSK.

Beliau berkata, AMX merupakan kepakaran syarikat dan ia direka lebih fleksibel untuk memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara berbanding platform yang ditawarkan oleh syarikat luar negara.

"Kelebihan sistem AMX kami adalah harganya sangat kompetitif berikutan dibangunkan sendiri berbanding membeli sistem luar yang memerlukan kos lesen dan sebagainya.

"Sistem GEM pula adalah sistem yang menghubungkan pelanggan kami dengan 500 syarikat telekomunikasi dan dua bilion pelanggan mudah alih dengan hanya berurusan dengan MACROKIOSK," jelasnya.

Antara contoh transaksi harian yang menggunakan sistem yang dibangunkan MACROKIOSK adalah kod akses (TAC) yang biasa terdapat pada perkhidmatan perbankan dalam talian, peringatan atau maklumat penerbangan menerusi telefon mudah alih dan peringatan maklumat transaksi kad kredit,.

MACROKIOSK bertindak sebagai penghantar setiap maklumat tersebut daripada pelanggan (institusi) kepada pengguna menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) daripada semua jenis rangkaian telekomunikasi dalam tempoh kurang 30 saat.

Syarikat berkenaan mampu mengendalikan 300 SMS serentak dalam sesaat ketika ini dan mampu ditingkatkan jika keadaan memerlukan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi kewangan syarikat, Kenny berkata, syarikat berkenaan menetapkan perolehan syarikat mampu mencecah RM250 juta pada 2015 berbanding RM100 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu.

"Peningkatan tersebut disokong oleh pengembangan operasi dan perkhidmatan baharu yang fleksibel mengikut kehendak pelanggan.

"Kami menetapkan matlamat untuk menjadi syarikat konglomerat dalam penyedia sistem teknologi mudah alih tempatan pada masa depan," jelasnya.

Related Articles
Seremban Aikido dojo wins Muhibbah Award
For Sabah nun, Christmas means giving the gift of education
Visiting villagers in need for two decades
修道馆弘扬和谐63载 芙合气道道场荣获亲善大奖
Shudokan Terima Anugerah NPC-MACROKIOSK Muhibbah